Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beragama Islam yang mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,300 dalam Akaun 1 KWSP boleh membuat pendaftaran menunaikan haji dengan Tabung Haji (TH) mulai 3 Januari 2012.
Di bawah kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP, ahli KWSP boleh membuat pendaftaran untuk mendapatkan giliran mengerjakan haji tanpa perlu mempunyai simpanan minimum RM1,300 dalam Tabung Haji. Dalam hubungan ini, Akaun 1 dipilih bagi membolehkan lebih ramai ahli berpeluang menggunakan kemudahan ini.
Pendaftaran bagi kemudahan ini boleh dibuat di semua kaunter TH, cawangan Bank Rakyat dan Bank Islam seluruh negara dan prosesnya mengikut prosedur yang ditetapkan oleh TH. Ahli KWSP perlu membawa bersama MyKad dan Penyata KWSP terkini yang boleh diperoleh dari cawangan KWSP terdekat, kios KWSP atau secara online melalui i-Akaun. Ahli KWSP tidak perlu mengeluarkan simpanan KWSP mereka untuk tujuan pendaftaran haji.
Untuk melayakkan diri membuat pendaftaran haji, ahli KWSP mesti warganegara Malaysia atau pemastautin tetap beragama Islam. Mereka juga belum mencapai umur 55 tahun dan mempunyai akaun simpanan di TH. Ahli KWSP yang tidak mempunyai akaun simpanan di TH boleh membuka akaun tersebut dengan deposit minimum sebanyak RM2 sahaja.
Ahli KWSP yang telah mendaftar haji di bawah prosedur TH sebelum ini boleh menukarkannya kepada kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP tanpa melibatkan pertukaran tarikh giliran haji yang telah diberikan sebelum ini.
Kemudahan ini tidak mempercepatkan tarikh mengerjakan haji. Tarikh untuk mengerjakan haji akan ditentukan oleh TH.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.kwsp.gov.my atau www.tabunghaji.gov.my. Sebagai pilihan, ahli boleh menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03 - 8922 6000 atau Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03 – 6207 1919.
Sumber : Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
0 komen:
Post a Comment